Perkara - Perkara Yang Membatalkan Puasa




    Bila tiba bulan Ramadhan biasanya akan timbul berbagai kemusykilan mengenai ibadat puasa. Ada yang bertanya mengenai kontek lens, bertitik mata, 'bainjik, pemindahan darah, memasukkan ubat melalui lubang yang ditebuk pada perut, menitik ubat ke dalam telinga dan bermacam-macam lagi. Pertanyaan ini ditimbulkan semata-mata untuk mempastikan ibadat puasa yang ditunaikan itu sah dan sempurna.
    Bagi menjawab sah atau batal puasa seseorang itu pertama sekali perlu dilihat dulu apakah perkara yang membatalkan puasa itu. Cuba perhatikan, pekara-perkara yang membatatkan puasa ialah :-
    1. Datang haidh dan nifas.
    2. Makan dan Minum dengan senghaja.
    3. Muntah dengan senghaja.
    4. Mengeluarkan air mani dengan senghaja.
    5. Menjadi gila atau hilang akal sepanjang hari.
    6. Menjadi Murtad.
    7. Bersetubuh.
    8. Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga dengan sengaja melalui lubang yang terbuka dari Bahagian tubuh manusia.
    Biasanya persoalan yang selalu ditimbulkan ialah dalam perkara memasukkan sesuatu ke dalam rongga dengan senghaja. Untuk itu perlu dijelaskan dulu apa yang dimaksudkan dengan benda, lubang yang terbuka, sengaja dan rongga itu.
    Maksud dengan 'benda' di sini ialah apa-apa jua benda walaupun sedikit, samada yang boleh dimakan seperti sebiji lenga atau yang tidak boleh dimakan seperti sebutir pasir. Tidak termasuk benda itu ialah rasa, warna atau bau. Apabila masuk ke dalam rongga seseorang itu sesuatu yang bukan benda seperti rasa, warna atau bau, tidaklah membatalkan puasa.
    Yang dimaksudkan dengan lubang yang terbuka itu ialah tempat masuk atau keluar sesuatu, samada lobang itu semulajadi adanya seperti mulut, hidung dengan sebagainya atau yang baru wujud seperti luka.
    Adapun maksud 'sengaja' itu pula ialah dilakukan sendiri atau oleh orang lain dengan keizinannya.
    Manakala maksud rongga pula ialah apa-apa saja yang dinamakan rongga samada rongga itu mempunyai kuasa memproses makanan atau ubat ataupun tidak sepertirongga otak, kerongkong atau rongga mulut, rongga hidung, rongga telinga, perut, dubur, faraj, pundi-pundi kencing, lobang tempat keluar air kencing lelaki, lobang tempat keluar air susu ( al-ihlil).
    Untuk jelasnya berikut adalah huraian maksud tiap-tiap satu dari rongga-rongga yang disebutkan itu.
    1. Rongga Otak
      Adapun yang dinamakan ronga otak itu ialah tempurung kepala. Maka jika dimasukkan ubat ke dalam kepala melalui lubang yang ditebuk di kepala atau yang luka, apabila sampai sahaja ubat itu ketempurung kepala
       (kharithah al-dimagh)adalah membatalkan puasa walaupun tida sampai ke dalam otak.
    2. Kerongkong atau rongga mulut
      Rongga mulut itu terbahagi kepada had zahir dan had batin. Had zahir mulut itu ialah dari tempat keluar makhraj huruf  hingga ke atas mulut, manakala had batin mulut itu ialah dari tempat keluarnya makhraj huruf  atau  hingga ke bawah (kerongkong). Maka yang dikatakan rongga mulut yang membatalkan puasa itu ialah apabila sampai sesuatu yang dimasukkan ke dalam mulut ke had batin (makhraj huruf  atau ).
      Adapun air liur yang ada pada had zahir mulut itu apabila ditelan tidaklah membatalkan puasa kecuali air liur yang berpisah dari lidahnya dan memilih keluar ke bibir, apabila ditelan adalah membatalkan puasa.
      Manakala kahak atau hingus yang sampai pada had zahir mulut, yang seseorang itu berkuasa meludahkannya apabila ditelannya, adalah membatalkan puasa.
    3. Rongga hidung
      Apa-apa jua yang dimasukkan ke dalam hidung yang melebihi pangkal batang hidung (khaisyum) adalah membatalkan puasa.
    4. Rongga telinga
      Adapun rongga telinga yang membatalkan puasa itu ialah batin telinga (bathin al-udzun). Maka jika dimasukkan sesuatu seperti menitikkan ubat ke dalam telinga dan sampai ke batin telinga (bathin al-udzun) adalah membatalkan puasa.
    5. Rongga perut
      Batal puasa seseorang itu apabila dimasukkan sesuatu seperti ubat melalui lubang yang dittebuk pada perut dan sampai ke dalam perut walaupun tidak sampai ke perut panjang (al am' a'). Begitu juga jika dia menikam perutnya dengan sengaja atau oleh orang lain dengan izinnya, maka batal puasa dengan sampainya alat seperti pisau yang digunakanuntuk menikam itu.
    6. Rongga dubur
      Rongga dubur yang membatalkan puasa itu ialah apabila sampai sesuatu seperti ke tempat yang tidak wajib dicuci ketike beristinja'.
      Demikian juga halnya dengan najis yang telah keluar tetapi tidak terpisah daripada dubur, apabila dikecitkan dubur tanpa ada keperluan dan najis itu masuk kembali ke dalam, maka batal puasa seseorang itu,kerana dimasukkan dengan sengaja iaitu perbuatan menarik balik yang tidak diperlukan, tetapi jika terpaksa seperti orang yang sakit buasir, maka tidaklah batal puasanya.
    7. Rongga faraj
      Adapun rongga faraj yang membatalkan puasa ialah jika masuk sesuatu yang melebihi had faraj. Had zahir faraj itu ialah apa yang nyata ketika seorang perempuan itu duduk mencangkung di atas kedua betisnya. Sebagai contoh jika dimasukkan jari atau apa-apa benda seperti kapas atau alat pencegah hamil melebihi had zahir, maka batallah puasanya.
    8. Pundi-pundi kencing (matsanah)
      Adalah batal puasa seseorang itu jika sampai sesuatu ke pundi-pundi kencing seperti ditebuk di bahagian ari-ari bagi tujuan memasukkan ubat atau alat ke pundi-pundi kencing.
    9. Lubang tempat keluar air kencing lelaki dan lubang tempat keluar air susu (al-ihlil).
      Apabila dimasukkan sesuatu benda atau menitikkan ubat ke lubang tempat keluar ai kencing atau lubang tempat keluar air susu, walaupun tidak sampai ke pundi-pundi atau tidak melebihi hasyafah atau melebihi puting susu adalah membatalkan puasa.
      Maka selain daripada apa yang disebutkan di atas, tidaklah termasuk dalam apa yang disebut sebagai rongga seperti lubang bulu roma, zahir mulut, zahir telinga, zahir hidung dan mata.
      Dari penjelasan yang diberikan telah menjawab beberapa kemusykilan yang ditimbulkan. Bagaimana pula dengan memakai kontek lens, bertitik mata dan pemindahan darah?.
      (i) Memakai kontek lens dan bertiitik mata.
      Adapun mata adalah tidak termasuk dalam apa yang dikatakan rongga itu, demikian dijelaskan oleh Imam Nawawi di dalam kitabnya Raudhah at-Thalibin. Dari hal yang demikian, maka memasukkan sesuatu ke mata dengan sengaja seperti memakai kontek lens di kelopak mata ketika berpuasa itu tidak membatalkan puasa sipemakainya.
      Begitu juga menitiskan air titik mata pada mata ketika berpuasa kecuali jika diyakini benda ('ain) cecair yang dititikkan itu masuk melalui lubang yang ada pada mata itu, dan sampai ke kerongkong, maka apabila benda itu ditelan, batal puasanya. Jika diludahkannya tidaklah membatalkan puasanya. Tetapi jika yang sampai ke kerongkong itu hanya rasanya bukan benda cecair itu, walaupun ditelan tidaklah membatalkan puasanya, kerana rasa itu dinamakan benda ('ain). Hal ini diqiyaskan pembicaraan ulama tentang memakai celak mata ketika berpuasa.
      (ii) Pemindahan darah.
      Pemindahan darah itu sama ada mengeluarkan darah dari dalam badan atau memasukkan darah ke dalam badan.
      Adapun hukum mengeluarkan darah dari dalam badan orang yang berpuasa, tidak membatalkan puasa seperti orang yang berbekam, kerana diriwayatkan daripada Ibnu 'Abbas Radhiallahu'anhuma beliau berkata:





      h_irsyad1.jpg (5899 bytes)
      Maksudnya:'' Sesungguhnya Nabi Sallallahu'Alaihi Wassalam berbekam sedang baginda seorang yang berpuasa."
      (Hadits riwayat Bukhari)
      Walaupun begitu, perbuatan berbekam ini adalah makruh bagi orang yang berpuasa kerana ditakuti akan melemahkan dirinya.
      Demikian juga hukum berderma darah di siang hari bulan Ramadhan bagi orang sedang berpuasa, tidaklah membatalkan puasa, hanya dihukumkan makruh sahaja, kerana perbuatan ini bukan memasukkan sesuatu ke dalam sebarang rongga tetapi sebaliknya iaitu mengeluarkan darah.
      Manakala memasukkan darah ke dalam tubuh badan orang yang sedang berpuasa atau penyucian darah dengan menggunakan mesin bagi orang yang mengalami sakit buah pinggang adalah membatalkan puasa, kerana darah yang dimasukkan itu akan sampai ke anggota yang boleh dipanggil rongga, seterusnya ke jantungnya dan darah itu akan diproses untuk sampai ke seluruh badan.
      Hal ini sama dengan menyuntikkan cecair ubat seperti air gelukos melalui urat darah bagi tujuan memberi tenaga atau lain-lain tujuan pencegahan atau kesihatan adalah membatalkan puasa, kerana dalam hal ini benda ('ain) itu pasti sampai ke perut panjangnya dan ma'idahnya iaitu tempat memproses makanan, maka sudah tentu perbuatan ini lebih utama membatalkan puasa daripada perbuatan menambah darah.
      Mudah-mudahan dengan panduan yang diberikan itu menambah pengetahuan dalam perkara ibadat puasa dan dapat dijadikan panduan agar kewajipan puasa itu dapat ditunaikan dengan sempurna dan akan diterima oleh Allah Subhanahu Wataala.

Please leave your ideas here

إرسال تعليق (0)
أحدث أقدم