TIME DotCom dan ASTRO bergabung

UNIT TIME dotCom Bhd, TT dotCom Sdn Bhd, menandatangani terma prinsipal kerjasama dengan Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd (Astro) bagi menyediakan perkhidmatan jalur lebar dan Televisyen Protokol Internet (IPTV) ke seluruh Lembah Klang dan Pulau Pinang.

Menurut Time dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kerjasama dengan Astro itu akan membolehkan TIME mendapatkan pelanggan dengan lebih cepat dalam sasarannya dan memanfaatkan kekuatan rangkaian jalur lebar optik tulen 100 peratus TIME. "Dengan IPTV Astro dan perkhidmatan B.yond dengan jalur lebar optik TIME, akan membolehkan kedua-dua pihak memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan akhir," katanya dan menambah yang perniagaan borong TIME akan terus diperkukuhkan melalui kerja dengan rakan kongsi utama seperti Astro.


Astro memiliki dan mengendalikan perkhidmatan televisyen berbayar utama Malaysia serta perkhidmatan multimedia, interaktif dan radio yang lain melalui sistem multimedia digital kepada pelanggannya.

Antara terma penting kerjasama itu ialah Astro akan menggunakan perkhidmatan TV berbayar HD/VOD/B.yond infrastruktur jalur lebar optik TIME.


Pelanggan akan ditawarkan penyelesaian Astro IPTV canggih dengan perkhidmatan Jalur Lebar dan Telefoni Optik TIME.


Terma lain ialah perkhidmatan akan dijenamakan sebagai 'Astro' dan 'Dikuasakan oleh jalur lebar optik TIME' dan perkhidmatan akan boleh didapati di 11,400 rumah hari ini dan dianggarkan 167,000 rumah di lebih 1,500 bangunan menjelang akhir Disember 2011 seluruh Lembah Klang dan Pulau Pinang.


Pihak berkenaan perlu berusaha ke arah memeterai perjanjian kerjasama untuk tempoh 10 tahun itu, tidak lewat pada 31 Januari 2011. Sekiranya perjanjian kerjasama tidak dimeterai menjelang 31 Januari 2011, pihak-pihak bersetuju yang tarikh itu dilanjutkan sehingga 31 Mac, 2011 atau tarikh kemudiannya sebagaimana yang dipersetujui pihak berkaitan secara bertulis.


Kerjasama itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan TIME Group pada masa depan. - Bernama

Please leave your ideas here

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post