Informasi Terkini & Menarik

Berfikir Sejenak



Apa yang kamu fikir? Apa yang sedang saya fikir? Adakah anda tahu apa yang sedang saya fikir dan orang lain fikir? Adakah anda fikir saya tahu apa yang anda fikir dan orang lain fikir? Adakah ada orang yang tahu apa yang saya sedang fikir? Adakah ada orang tahu apa yang anda sedang fikir? Apa yang saya fikir adalah, hanya Allah s.w.t. sahaja yang tahu apa yang saya, anda dan sesiapa sahaja yang sedang berfikir.

Firman Allah s.w.t di dalam surah Al Ahzab: ayat 54
"Jika kamu melahirkan sesuatu atau menyembunyikannya, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala sesuatu."

ALLAH s.w.t. kurniakan manusia dengan akal. Akal adalah sebesar-besar rahmat dan nikmat yang membolehkan manusia berfikir. Yang membezakan haiwan dan manusia ialah kerana manusia dianugerahkan akal yang membolehkan mereka berfikir sedangkan haiwan mempunyai otak tetapi tidak boleh berfikir. 

Haiwan dirangsang oleh naluri. Sebab itulah Allah menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian iaitu manusia boleh berfikir. 

Berfikir adalah sesuatu yang amat penting bagi kehidupan. Kejadian pada diri manusia itu sendiri, mendorong manusia berfikir. Mengapa akal, nafsu, hati dan pancaindera dijadikan, membawa manusia berfikir. Mengapa hujan, ribut, banjir, gempa bumi, kebakaran berlaku membawa manusia berfikir. Siapa yang mencipta manusia dan alam ini menyebabkan manusia berfikir. 

Berfikir membolehkan manusia mengetahui. Tahu tentang sesuatu boleh menjadi asas pengetahuan dan ilmu. Pada hakikatnya, berfikir ialah untuk mencari makna. Manusia faham akan sesuatu berasaskan makna. Apabila ilmu diperolehi hasil adalah proses berfikir manusia menjadi tahu dan menerima makna akan sesuatu. 

Bagi benda-benda yang nyata, fikiran dan pancaindera manusia membantu. Kehidupan ini tidak sekadar apa yang kita nampak dan tengok sebagai bukti menjadikan kita tahu. Ada benda-benda yang kita nampak dan tengok adalah benda-benda yang dekat. Betapa benda-benda yang jauh di angkasa raya dan di luh mahfuz yang manusia tidak tahu. 

Sudah tentu manusia memerlukan bantuan untuk menjadikannya tahu dan mendapat makna tentang bumi dan kehidupan, planet-planet dan galaksi lain, hubungan antara kehidupan di bumi dengan faktor-faktor alamiah yang amat menakjubkan. 

Dalam tradisi Islam, al-Quranlah sebagai sumber maklumat, pertunjuk dan ilmu mengenai faktor yang ghaib dan nyata yang memberi suluh dan pedoman kepada manusia. Bila manusia melakukan fikir dan tadabbur mendorong manusia bertanya tidak sekadar apa yang nyata di hadapan matanya tetapi faktor di sebalik kejadian sesuatu yang tentunya terkandung hikmah, rahsia dan menafaat bagi manusia. Inilah tradisi berfikir yang selari dengan maksud sains Islam. 

Tanpa al-Quran manusia hanya melakukan kajian terhadap perkara-perkara yang nyata dan tampak sedangkan alam ini terkandung perkara-perkara yang nampak dan tidak tampak. Tidak mungkin alam ini diurus dengan baik hanya dengan upaya yang tampak. Alam ini sebenarnya diuruskan dengan upaya yang tidak nampak atau ghaib. Manusia sendiri memiliki keterbatasan dalam mengurus muka bumi ini apa lagi mengurus alam yang tidak memiliki batas tepi. 

Umumnya akal manusia mempunyai tiga fungsi. Pertama manusia boleh mengingat dan menghafal sesuatu. Kedua, akal membolehkan seseorang berfikir mengenai sesuatu sama ada yang dilihat, dialami mahupun yang dikhayali. 

Ketiga akal mempunyai daya taakulan yang membolehkan pertanyaan dibuat, jawapan diberi dan penyelidikan berlaku. Daripada proses ini manusia menjadi faham. Fahamlah yang menjadi puncak kepada proses berfikir. Berfikir menjadi nikmat yang amat luar biasa bagi manusia sekiranya natijah akhirnya ialah faham. 

Otak manusia dibahagikan kepada dua iaitu otak kanan dan otak kiri. Otak kanan dikatakan mempunyai upaya berfikir yang berhubung dengan hal-hal yang kreatif, falsafah dan termasuk hal-hal keagamaan. Otak kiri dikatakan mempunyai kecenderungan dan potensi mengenai angka, statistik dan analisis di samping hal-hal mengenai bahasa. Ada manusia dikatakan menjadi kuat kepada salah satu daripada dua dan terdapat juga manusia yang mempunyai kehebatan kedua-duanya. 

Para remaja mesti menggunakan kekuatan otak ini untuk menafaat ilmu dan pengetahuan. Seperti juga manusia lain, remaja dibekalkan dengan kekuatan akal yang membolehkannya berfikir. 

Meskipun remaja masih lagi muda tetapi bahan yang perlu difikirkan mestilah mampu mencanai akal untuk menghasilkan idea-idea yang bernas dan pemikiran yang baik. Idea yang bernas berlaku hasil dari pembacaan, perkongsian maklumat, pemerhatian, pengalaman yang membimbing remaja berfikir dan meletakkan nilai supaya pemikiran terpedoman. 

Pemikiran yang baik bagi remaja ialah pemikiran yang berasaskan nilai. Nilailah yang menjadi pedoman terbaik untuk remaja berfikir. 

Al-Quran sebagai sumber pertunjuk terkandung nilai-nilai dalam pelbagai dimensi. Ada nilai yang terpancar dari dimensi akidah, ada nilai yang berkembang dari dimensi ibadah, ada nilai yang memberikan batasan dimensi syariah dan ada nilai yang terlihat daripada kemurnian akhlak yang terdapat. 

Apabila Islam menganjurkan remaja supaya selalu bersyukur, memiliki sifat sabar, harus ada kebijaksanaan, bersikap adil dan ihsan terhadap orang lain, amanah dan jujur terhadap sesuatu ia adalah pancaran nilai yang mempedoman jalan berfikir remaja. Sekiranya remaja hanya dirangsang oleh nafsu , keyakinan akliah semata-mata nescaya makna sebenar sesuatu yang dimiliki dan dicari tidak akan ditemui. 

Apabila remaja mengaitkan kekuatan berfikir berasaskan nilai-nilai yang sifatnya Qurani, para remaja sedang memilih jalan bagaimana faktor rohaniah dan akal dapat disatukan, faktor fikir dan zikir dapat ditemukan. Asas inilah yang boleh memimpin remaja menjadi pemikir masa depan. 

Sama ada pemikiran itu mengambil sudut reflektif, lateral, kritikal, analitikal, strategik, kreatif dan seumpamanya asas nilai seharusnya dijadikan pedoman. Nilailah yang akhirnya bakal membantu remaja untuk membuat sesuatu keputusan dan tindakan. Sekiranya nilai yang diambil hanya bersifat akliah semata dan tidak dikaitkan dengan sumber naqliah (wahyu) ia tidak melahirkan kebijaksanaan. 

*Renungan batini 

Berfikir bagi remaja memerlukan renungan batini yang tinggi. Menghubungkan diri dengan Allah dengan mengakui alam ini adalah ciptaan-Nya, rahmah dan nikmat adalah kurniaan-Nya menyebabkan remaja merasa kerdil tentang upaya diri, berusaha untuk menemukan tanda-tanda kebesaran-Nya dan darinya remaja mempunyai asas yang betul bahawa berfikir tanpa redha Allah adalah sesat, berilmu tanpa mengakui kebesaran Allah adalah musibah dan pemikiran yang hanya mengagumi kehebatan duniawi tanpa mengaitkan dengan kepentingan ukhrawi akan memimpin manusia ke arah malapetaka. 

Oleh kerana berfikir adalah suatu nikmat Allah yang amat bernilai, faktor kewarasan, keseimbangan dan kematangan harus ada supaya kualiti ilmu dan maklumat yang diperolehi mampu membimbing remaja ke arah jalur kehidupan yang terarah dan memungkinkan remaja menyumbang berasaskan kekuatan ilmu dan kemahiran yang yang lebih bermakna.

Oleh karenanya, dalam banyak ayat Allah memberi semangat untuk berakal (yakni menggunakan akalnya), di antaranya: 
وَسَخَّرَ لَكُمُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ وَالنُّجُوْمُ مُسَخَّرَاتٌ بِأَمْرِهِ إِنَّ فِيْ ذَلِكَ لآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَعْقِلُوْنَ 
“Dan Dia menundukkan malam dan siang, matahari dan bulan untukmu. Dan bintang-bintang itu ditundukkan (untukmu) dengan perintah-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang memahami(nya).” (An-Nahl: 12)


Share:

Usus disumbat cacing



BERCAKAP mengenai jangkitan parasit pada usus, walaupun tidak serius diperkatakan seperti beberapa dekad lalu, ia terus menjadi isu dalam kesihatan orang ramai.

Menurut Pakar Parasitologi dan Kesihatan Masyarakat, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Datin Dr. Norhayati Moktar, serangan cacing seperti cacing gelang dan cacing kerawit masih wujud.

Tegasnya, bukan sahaja kanak-kanak, ia turut menyerang orang dewasa terutama dalam kalangan mereka yang tinggal di kawasan setinggan dan perkampungan Orang Asli yang mempunyai masalah pembentungan dan saliran serta air bersih.

Menurut Norhayati, masalah cacing boleh menyebabkan anemia yang serius dan kegagalan jantung yang teruk jika tidak dirawat.

“Dengan adanya cacing tertentu di dalam tubuh seseorang, ia mengurangkan selera makan, mengganggu sistem penghadaman dan penyerapan makanan, kehilangan makanan melalui cirit-birit dan muntah serta gangguan metabolisma.

Masalah jangkitan cacing bagaimanapun tidak terhad pada sejenis cacing sahaja. Jangkitan cacing lain yang sering berlaku adalah cacing gelang dan cacing cemeti.

MESKIPUN saiz cacing kerawit kecil, kemampuannya untuk menjejaskan 
kesihatan tidak boleh dipandang ringan.

“Cacing kerawit misalnya, paling kerap menyebabkan kekurangan darah kerana ia boleh menghisap darah di dalam usus.

Justeru, masalah kurang darah yang kronik boleh mengganggu tumbesaran dan pembelajaran malah pada tahap lebih serius berupaya menyebabkan kegagalan jantung," katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan, jangkitan cacing gelang (ascaris lumbricoides) adalah yang paling kerap berlaku iaitu membabitkan 1.22 bilion jangkitan, cacing cemeti (triciuris trichiura) 795 juta jangkitan manakala cacing kerawit (amcylostoma duodenale, necator americanus dan ancylostoma ceylanicum) 740 juta jangkitan.

Daripada jumlah itu, 400 juta kes membabitkan kanak-kanak yang mengalami masalah tumbesaran, aktiviti fizikal yang kurang cergas, lemah daya pemikiran dan mengalami masalah pembelajaran.

Serangan cacing di dalam usus ini juga antara penyebab utama sakit abdomen akut di kalangan kanak-kanak di kawasan endemik di negara tropika.

NORHAYATI MOKTAR...infeksi usus 
dan cacing amat berkait rapat.

“Kajian status pemakanan di kalangan kanak-kanak berumur satu hingga tujuh tahun mendapati pengambilan zat besi adalah rendah dan ia berkait dengan jangkitan cacing,” tambah Norhayati.

Di samping itu, cacing yang dipindahkan melalui tanah seperti ascariasis dan trichuriasis, bukan sahaja terjadi pada kanak-kanak sekolah malah jangkitan cacing kerawit juga kerap terjadi pada orang dewasa.

“Ia turut berkait rapat dengan masalah buta malam sekiranya kanak-kanak tersebut mengalami infeksi parasit usus,” maklum Norhayati.

KEADAAN cacing gelang yang menyumbat saluran usus seorang pesakit.

Norhayati berkata, larva cacing kerawit juga boleh menembusi kulit dan masuk ke dalam saluran darah dan seterusnya masuk ke dalam usus dan meneruskan kitar hidup yang sama.

“Sudah sampai masanya kita mengubah tanggapan bahawa cacing adalah masalah kecil.

“Tanpa pencegahan dan amalan kebersihan, cacing boleh menyebabkan maut jika terjadi masalah usus tersumbat dan tidak dirawat dengan segera,” tegas Norhayati.
Share:

Jangan Mandi Kat PD

MOHD. FAREZ (kiri), Azay dan Suhaimi bersama bangkai 
buaya tembaga yang ditemui di pantai Port Dickson semalam.

PORT DICKSON – Jika sebelum ini kehadiran buaya di pantai peranginan di Port Dickson sering dinafikan oleh banyak pihak, namun semalam persoalan itu terjawab apabila seekor buaya tembaga betina ditemui di pantai Ixora Permai, Tanjung Agas dekat sini.

Reptilia pemangsa itu dijumpai terapung-apung oleh tiga orang pekerja binaan pada pukul 12.45 tengah hari ketika mereka sedang memancing di kawasan berkenaan.

Seorang daripada mereka, Suhaimi Salim, 35, berkata, dia dan rakannya yang sedang asyik memancing terkejut apabila ternampak objek yang pada mula disangka kayu.

“Saya nampak sesuatu seperti kayu terapung tetapi selepas dilihat dari jarak dekat, objek itu rupa-rupanya bangkai buaya dalam keadaan terlentang.

“Selepas yakin bahawa buaya itu kaku dan tidak bergerak, baru kami memberanikan diri menghampiri sebelum menariknya kira-kira 500 meter ke tepi pantai,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Suhaimi memberitahu, selepas itu dia bersama rakannya menarik buaya terbabit di tepi pantai dan mendapati badan buaya itu terdapat luka dipercayai kesan ditembak.

Rakannya, Mohd. Farez Mohd. Said, 19, pula berkata, buaya sepanjang 5.48 meter dengan ukur lilit 2.43 meter dan berat hampir satu tan (kira-kira 1,000 kilogram) itu berkemungkinan berasal dari Sungai Linggi dekat sini.

Menceritakan detik penemuan reptilia itu, Mohd. Farez berkata, dia pada mulanya terkejut dan tidak mempercayai apa yang dilihat kerana buaya biasanya tidak ditemui di laut.
Share:

Kreativiti 'Wanita Biru'

RUANG yang terhad sering mengundang masalah kepada pemilik untuk menghias dan mencantikkan kediaman.

Apatah lagi jika mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai. Kehadiran anak kecil pula menuntut setiap perhiasan rumah disimpan dengan teliti.

Usaha pasangan Bahrain Md. Zain, 47, dan Rosmah Yusak, 44, mentransformasi rumah teres setingkat milik mereka boleh dipuji.

Malah, kegilaan Rosmah terhadap warna biru, daripada sudut dinding hingga pelbagai peralatan dan perabot telah membuahkan hasil yang menarik.

Menurut Rosmah, sejak kecil lagi dia menggemari warna biru.

“Saya suka memakai pakaian berwarna biru, beg biru, kasut dan jam tangan biru.

“Bagi saya warna itu memberikan suasana yang menyenangkan.

“Lagipun bilik tidur yang hiasannya banyak warna biru membuatkan saya lebih mudah terlelap setelah seharian penat bekerja,” katanya ketawa.


Tong sampah

Kunjungan Jurnal ke rumah Rosmah untuk melihat sejauh mana obsesnya beliau kepada warna biru memang mengejutkan.

Bayangkan, pakaian, tong sampah, bilik air dan mangkuk tandas semuanya berwarna biru.

Namun, warna biru ternyata sesuai untuk dipadankan dengan warna lain.


ROSMAH mengubahsuai bilik ini untuk dijadikan ruang makan.
RUANG hadapan yang agak ringkas tetapi selesa.

Di luar, rumah Rosmah dihiasi peralatan ringkas tetapi menarik. Sebagai contoh, beliau menggunakan pokok kaktus dan keladi untuk mendapatkan aura semula jadi. Kedua-dua tumbuhan itu sememangnya mudah dijaga.

Corak jeriji besi tempawan disulam dengan lingkaran bunga keemasan menambah seri pada kediaman.

Gabungan warna biru dan putih ditambah dengan hiasan lampu kecil membuatkan suasana malam lebih eksklusif dan mendamaikan.


BILIK tidur juga dihiasi dengan perhiasan berwarna biru.

Kayu jati

Memasuki ruang tamu, hiasan dalamannya tampak berlainan.

Pintu gerbang berliku menghubungkan bahagian dapur dan ruang menonton televisyen.

Terdapat juga sepasang jahitan bunga matahari menghiasi dinding. Ia agak kontra tetapi menarik dipandang.

Kebanyakan perabot di rumah ini berasaskan kayu jati.

Ujar Rosmah, beliau memilih perabot jati kerana ia tahan lasak selain tidak memerlukan penjagaan yang rapi.

“Walaupun kurang digilap, perabot-perabot jati itu tetap berkilat tanpa perlu dicuci selalu.

“Ia juga menampakkan ciri tradisional berselang unsur moden. Kosnya pula tidaklah begitu mahal,” katanya.

Di penjuru ruang tamu terdapat sebuah meja konsol yang mempamerkan pelbagai barangan kristal yang hampir semuanya berwarna biru.

Selain itu, kotak menyimpan kunci juga dihiasi warna biru. Pinggan mangkuk, teko dan gelas turut membawa warna tema yang sama. Terbukti biru berupaya meredupkan pandangan mata.

Barangan kaca berbentuk teko ala Mesir dijadikan perhiasan hampir di setiap sudut. Ia kekal menjadi sebahagian koleksi kesayangan beliau.

Biru juga melatari ruang dinding yang dibahagikan kepada dua iaitu dinding kosong dan dinding berhias kertas dinding.


Rosmah menggemari warna biru kerana berpendapat warna 
itu dapat membuatkan ruang yang kecil nampak lebih luas.

Pantulan imej

Beberapa bingkai berukiran ringkas yang mengetengahkan motif flora berwarna hijau menaikkan lagi aura dinding.

Warna biru juga menambah seri kediaman dengan pantulan imej daripada bingkai cermin dan secara tidak langsung membuatkan ruang yang sempit kelihatan lebih luas walaupun perabot yang digunakan bersaiz besar.

Bilik tidur Rosmah dan suami juga didominasi warna biru manakala katil kayu jati dititip dengan bunga-bunga ros plastik berwarna putih.

Ruang dapurnya agak selesa berikutan sebuah bilik diubahsuai menjadi ruang makan sekali gus membuatkan kawasan itu menjadi lebih luas dan mampu memuatkan lebih ramai tetamu pada satu-satu masa.

Kebanyakan perhiasan di dapur juga berwarna biru termasuk pinggan mangkuk dan corak-corak di sekelilingnya.

Share:

Model seksi jadi tumpuan di Shanghai


SEJUMLAH model seksi berkumpul di satu ruang Persidangan dan 
Ekspo Hiburan Digital China Kali Ke-8 di Shanghai pada Khamis lalu.

SHANGHAI - Model-model seksi yang memakai pakaian seperti bikini dan skirt mini menjadi tumpuan pada Persidangan dan Ekspo Hiburan Digital China Kali Ke-8 di sini yang berakhir semalam.

Gadis-gadis genit itu menjadi tumpuan kerana pemerintah komunis China sebelum ini mengumumkan syarikat-syarikat permainan komputer dilarang menggunakan unsur-unsur seks bagi mempromosikan produk masing-masing.

Seorang pelajar kursus perniagaan, Sherrill Ma berkata, gadis-gadis tersebut memperoleh AS$30 (RM95.55) hingga AS$45 (RM143.32) sehari untuk beraksi pada ekspo itu selama empat hari.

Dia yang berumur 21 tahun melakonkan watak seperti wanita kucing dengan memakai pakaian dalam dan duduk di dalam kurungan.

Seorang lagi gadis seksi, Zhang Meng berumur 20 tahun berkata, terdapat beberapa pengunjung yang meminta dia melakukan pelbagai aksi seperti menyentuh tubuh mereka.

Seorang pengarah pemasaran produk permainan Shanda Games, Jay Jiang menyatakan, di Jepun dan Korea Selatan, bilangan model seksi itu tidak ramai berbanding di sini.

Share:

Ayam betina 'berlagak' seperti penguin

AYAM betina seperti penguin berjalan bersama ayam lain.


BEIJING - Seekor ayam betina milik seorang petani, Lu Xi berjalan seperti penguin di wilayah Jiangsu, lapor sebuah akhbar semalam.

Ayam itu tidak pernah terbang dan kerap melihat ke arah air dengan memikirkan ia boleh berenang.

Gelagat pelik yang diberi nama jolokan Mumble oleh pihak media itu menyebabkan ia terselamat daripada menjadi hidangan masakan oleh tuannya.

Menurut Xi, ayam itu memiliki kepak yang kecil seperti penguin menyebabkan ia berjalan secara tegak dan tidak boleh terbang seperti ayam lain.

Share:

BTemplates.com

Total Pageviews

Search This Blog

Powered by Blogger.

About Us

About Us
Keep reminding, because reminding benefits the believers

Friend's Blogs

Top Commentators

SPM 2024: Peperiksaan Bermula dengan 402,956 Calon di Seluruh Negara

  Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 telah bermula pada 2 Januari 2025, melibatkan seramai 402,956 calon di seluruh negara.  Pe...

Contact Form

Name

Email *

Message *