Usus disumbat cacing



BERCAKAP mengenai jangkitan parasit pada usus, walaupun tidak serius diperkatakan seperti beberapa dekad lalu, ia terus menjadi isu dalam kesihatan orang ramai.

Menurut Pakar Parasitologi dan Kesihatan Masyarakat, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Datin Dr. Norhayati Moktar, serangan cacing seperti cacing gelang dan cacing kerawit masih wujud.

Tegasnya, bukan sahaja kanak-kanak, ia turut menyerang orang dewasa terutama dalam kalangan mereka yang tinggal di kawasan setinggan dan perkampungan Orang Asli yang mempunyai masalah pembentungan dan saliran serta air bersih.

Menurut Norhayati, masalah cacing boleh menyebabkan anemia yang serius dan kegagalan jantung yang teruk jika tidak dirawat.

“Dengan adanya cacing tertentu di dalam tubuh seseorang, ia mengurangkan selera makan, mengganggu sistem penghadaman dan penyerapan makanan, kehilangan makanan melalui cirit-birit dan muntah serta gangguan metabolisma.

Masalah jangkitan cacing bagaimanapun tidak terhad pada sejenis cacing sahaja. Jangkitan cacing lain yang sering berlaku adalah cacing gelang dan cacing cemeti.

MESKIPUN saiz cacing kerawit kecil, kemampuannya untuk menjejaskan 
kesihatan tidak boleh dipandang ringan.

“Cacing kerawit misalnya, paling kerap menyebabkan kekurangan darah kerana ia boleh menghisap darah di dalam usus.

Justeru, masalah kurang darah yang kronik boleh mengganggu tumbesaran dan pembelajaran malah pada tahap lebih serius berupaya menyebabkan kegagalan jantung," katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan, jangkitan cacing gelang (ascaris lumbricoides) adalah yang paling kerap berlaku iaitu membabitkan 1.22 bilion jangkitan, cacing cemeti (triciuris trichiura) 795 juta jangkitan manakala cacing kerawit (amcylostoma duodenale, necator americanus dan ancylostoma ceylanicum) 740 juta jangkitan.

Daripada jumlah itu, 400 juta kes membabitkan kanak-kanak yang mengalami masalah tumbesaran, aktiviti fizikal yang kurang cergas, lemah daya pemikiran dan mengalami masalah pembelajaran.

Serangan cacing di dalam usus ini juga antara penyebab utama sakit abdomen akut di kalangan kanak-kanak di kawasan endemik di negara tropika.

NORHAYATI MOKTAR...infeksi usus 
dan cacing amat berkait rapat.

“Kajian status pemakanan di kalangan kanak-kanak berumur satu hingga tujuh tahun mendapati pengambilan zat besi adalah rendah dan ia berkait dengan jangkitan cacing,” tambah Norhayati.

Di samping itu, cacing yang dipindahkan melalui tanah seperti ascariasis dan trichuriasis, bukan sahaja terjadi pada kanak-kanak sekolah malah jangkitan cacing kerawit juga kerap terjadi pada orang dewasa.

“Ia turut berkait rapat dengan masalah buta malam sekiranya kanak-kanak tersebut mengalami infeksi parasit usus,” maklum Norhayati.

KEADAAN cacing gelang yang menyumbat saluran usus seorang pesakit.

Norhayati berkata, larva cacing kerawit juga boleh menembusi kulit dan masuk ke dalam saluran darah dan seterusnya masuk ke dalam usus dan meneruskan kitar hidup yang sama.

“Sudah sampai masanya kita mengubah tanggapan bahawa cacing adalah masalah kecil.

“Tanpa pencegahan dan amalan kebersihan, cacing boleh menyebabkan maut jika terjadi masalah usus tersumbat dan tidak dirawat dengan segera,” tegas Norhayati.

Please leave your ideas here

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post