Buah Nangka Mastura


NANGKA Mastura pertama kali diketengahkan kepada umum sekitar tahun 2000. Ia diiktiraf sebagai varieti buah nangka tempatan yang terbaik pernah dihasilkan setakat ini.

Mampu mencecah berat sekitar 20 hingga 30 kilogram (kg) sebiji selain menghasilkan ulas yang manis dan berwarna keemasan, kualiti nangka Mastura telah mengangkat nama buah tempatan.

Malah, penggemar buah-buahan tempatan yang pernah merasainya pasti bersetuju bahawa nangka Mastura merupakan nangka terbaik pernah dinikmati.

Namun, populariti Mastura menyebabkan umum kurang mengenali individu yang bertanggungjawab menghasilkan varieti nangka tersebut.

Juga digelar nangka madu, ia merupakan gabungan daripada nama Mas yang membawa maksud warna isi yang keemasan manakala tura pula membawa maksud tanaman untuk rakyat.

Ia adalah hasil ciptaan Profesor Dr. Zainal Abidin Abd. Aziz ketika beliau masih bertugas sebagai pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kaji Hayat, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang sekitar tahun 1980-an.

Menurutnya, varieti nangka Mastura hanya diketengahkan setelah menyempurnakan penyelidikan selama dua dekad mengenai buah istimewa itu menerusi geran penyelidikan USM bernilai kira-kira RM1 juta.

Jelasnya, pada peringkat awal kajian, beliau telah bekerjasama dengan sebuah syarikat swasta dari Gopeng, Perak dan mengumpulkan sembilan genetik nangka terbaik dari seluruh Asia Tenggara untuk dikaji.

"Daripada sampel itu, sebanyak 400 titisan genetik berjaya dihasilkan dan selepas lapan tahun kajian, enam daripadanya diperkenalkan sebagai varieti baru dengan nama CJ-1, CJ-2, CJ-3, CJ-4, CJ-5 dan CJ-6.

"Selepas tiga hingga empat tahun ditanam dan mengeluarkan buah, orang ramai menggelarkannya nangka madu," katanya ketika ditemui Kosmo! di ladang penanaman nangka Mastura di Kampung Paya Tok Akil, Tasek Gelugor, Pulau Pinang baru-baru ini.


Di atas tanah seluas 12 hektar milik Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) yang dijadikan tapak kajiannya, Zainal Abidin kini turut menjalankan penyelidikan 20 buah-buahan tropika lain termasuklah durian belanda, jambu air, belimbing, longan, rambutan, pulasan dan roselle.

Walaupun berjaya menghasilkan nangka yang mempunyai ciri-ciri baik, namun kajian terhadap varieti nangka tidak terhenti di situ sahaja.

Menurut Zainal Abidin, sebanyak 400 titisan genetik daripada enam varieti CJ-1 hingga CJ-6 telah dikaji semula dan selepas lapan tahun, satu titisan daripadanya telah dipilih. Mengapa?
Ini kerana ia mempunyai sifat-sifat yang dikehendaki iaitu mempunyai saiz buah yang besar, mengeluarkan ulas yang manis dan isinya yang keemasan.

Varieti itu diperkenalkan kepada umum dengan nama CJ/USM 2000 Mastura yang kemudiannya menerima nama jolokan nangka Mastura seperti yang dikenali pada hari ini.

Malah, nangka Mastura juga mempunyai ciri-ciri yang baik. Antaranya ialah buahnya berbau harum, isi yang tebal, buah tidak mudah rosak, pokok yang lebih tahan serangan penyakit dan berbuah sepanjang masa.

Jelasnya, pokok nangka Mastura dengan ketinggian di antara 4.5 meter hingga 5.4 meter mampu mengeluarkan buah pertama selepas 18 bulan ditanam. Ia boleh mengeluarkan dua putik buah dalam tempoh sebulan selain mampu hidup selama lebih dua dekad.

Sehingga kini, varieti nangka Mastura paling banyak ditanam di Pahang yang melibatkan keluasan ladang kira-kira 1,200 hektar manakala di Terengganu dan Selangor pula melibatkan penanaman masing-masing seluas 160 hektar yang benihnya dipasarkan menerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di negeri itu.

Sebagai kesinambungan kepada kejayaan yang telah dihasilkan menerusi penemuan varieti nangka Mastura, Zainal Abidin yang telah bersara sebagai pensyarah di USM masih lagi meneruskan kajiannya.

Kini kajian terbarunya yang dilaksanakan sejak lima tahun lalu sudah memasuki peringkat penilaian terhadap 200 sampel titisan yang dihasilkan daripada kacukan beberapa jenis nangka terbaik termasuklah nangka Mastura.

"Kajian terbaru saya ini dijangkakan dapat menghasilkan empat lagi baka baru nangka yang mempunyai ciri-ciri baik, mungkin lebih baik daripada nangka Mastura.

"Saya jangkakan dalam masa setahun dua lagi, ia dapat diperkenalkan kepada umum untuk ditanam secara komersil di kawasan pertanian," katanya.


- Sumber : Kosmo

1 Comments

Please leave your ideas here

  1. sedapnye..
    nnt kalau bam rain jumpe..
    pos skit kt rumah ye..

    ReplyDelete
Post a Comment
Previous Post Next Post